Hai, apa khabar? Bagaimana perasaan anda sekarang? Adakah sedang tenang atau bergelora seperti air
di laut? Apa pun itu, semoga semuanya akan baik-baik saja. Semoga terus kuat.Sekarang, ayuh cuba
dalami perasaan sang Laut.
Hai,
Kau datang lagi,
Kadang sendiri, kadang beramai,
Apa hadirmu kini kerana resahnya hati mu?
Atau kerana lapangnya dada mu?
Apa pun itu, aku senang,
Kerana hadirku, mengukir senyumanmu,
Tetapi aku tidak tenang,
Kerana kedatanganmu, meninggalkan serpihanmu.
Teman,
Cukup engkau saja yang luas pemandangan,
Dari panjangnya jarak perjalanan,
Jangan dibawa berpetualang jauh si serpihan,
Dari almari tingkat gerai barangan.
Dibawa mengembara tanpa tujuan,
Untuk terdampar di pantai dan daratan,
Digulung dek ombak, di samudera terapung-apung,
Kemudian berakhir meragut si karang.
Teman,
Sungguh hadirmu merobek hati ku,
Sedang aku tempatmu mencari ketenangan dan rezeki,
Dan aku dengan senangnya menyambutmu,
Malah kemusnahan yang kau beri.
Sungguh tidak banyak ku pinta dari kedatanganmu,
Seperti engkau yang menginginkan kebebasan,
Dari bingitnya suasana kepala,
Dan serabutnya segenap perasaanmu,
Aku juga ingin bebas,
Bebas dari serpihan-serpihan,
Yang sering melukai seluruh isi ku.